Sabtu, 20 Desember 2014

[World] Pasukan Udara Tentera Darat Rancang Perolehan Enam Helikopter Tempur

Airbus Helicopters EC-665 Tiger kandidat kuat helikopter tempur ATM (Stephane Gimard)

Tentera Darat menerusi Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) merancang perolehan enam buah helikopter tempur bagi melaksanakan operasi secara berkesan di kawasan Pantai Timur Sabah termasuk Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone).

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri memberitahu persidangan Dewan Negara pada Khamis bahawa perolehan berkenaan didaftarkan sebagai projek di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) yang akan datang.

Beliau berkata kerajaan amat menyedari cabaran besar yang perlu dilalui bagi menentukan keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah termasuk di ESSZone sentiasa terpelihara.

"Ini kerana faktor geografinya yang merangkumi 10 daerah persisiran pantai timur Sabah mulai dari Kudat hingga ke Tawau, yang merangkumi pantai sepanjang 1,733 kilometer (km) melibatkan 361 pulau dan keluasan daratan seluas 31,158 km persegi iaitu merangkumi 42 peratus daripada keluasan negeri Sabah.
Gatling Gun M134D Hybrid (dillonaero)

"Berdasarkan faktor ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sememangnya memperakui keupayaan helikopter tempur dalam melaksanakan operasi secara berkesan di kawasan berkenaan," katanya.

Abdul Rahim berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Jamilah Sulaiman bertanya sama ada Kementerian Pertahanan merancang membeli pesawat helikopter tempur dalam masa terdekat, pada sesi soal jawab.

Selain itu, beliau berkata sebagai langkah awal, mesyuarat Kabinet pada 3 Dis lepas memutuskan perolehan 'Gatling Gun' untuk melengkapkan persenjataan helikopter ATM di Pantai Timur Sabah khususnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (EESCom).

"Lanjutan itu, Tentera Darat Malaysia dalam proses perolehan sebanyak 10 laras sistem persenjataan Gatling Gun M134D Hybrid bersama Weapon Mounting System untuk dipasang kepada pesawat Agusta A109 LOH," katanya.

  Bernama  

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Catatan: Hanya anggota dari blog ini yang dapat mengirim komentar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...